Sabtu, Mei 07, 2011

RM15,000 bantu peserta projek cendawan PPRT

KOTA TINGGI 29 April - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) meluluskan peruntukan RM15,000 untuk diagihkan kepada enam peserta projek cendawan di kawasan penduduk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lukut di sini.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, bantuan yang diluluskan TEKUN itu adalah untuk membantu penduduk menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan lagi kualiti kehidupan dengan peningkatan pengeluaran hasil.

"Kita harus berusaha mengubah nasib supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan dan memulakan hidup yang lebih baik.

"Diharapkan dengan bantuan yang diberikan itu dapat membantu hasil pengeluaran para usahawan cendawan yang telah diusahakan sejak setahun lalu," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cek TEKUN di pekarangan rumah Ketua Kampung Lukut, Md. Nor Lawang, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai TEKUN Kota Tinggi, Kamisah Mohd. Amin; Penolong Pegawai Pertanian, Azman Aman dan ketua-ketua kampung berhampiran.

Halimah turut mengucapkan terima kasih kepada pihak TEKUN dan Pejabat Pertanian yang proaktif serta semua jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani kerana turun padang mengeluarkan sumbangan dan juga skim yang disediakan kerajaan kepada golongan sasaran.

Katanya, projek cendawan yang ditempatkan dalam 4 buah bangsal di situ turut mendapat peruntukan sebanyak RM90,000 untuk membangun asas tani itu.

sumber: Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails