Selasa, Februari 26, 2013





PERTUBUHAN Peladang Kawasan (PPK) Kemaman yang menjadi pengeluar cendawan terbesar di Terengganu, menyasarkan menembusi pasaran cendawan tiram di luar Terengganu tidak lama lagi.


Pengurus Besarnya, Abdul Hamid Ali berkata, pihaknya menambah lagi bangunan pusat pemasaran di Kampung Dadong, Kemaman untuk meningkatkan pengeluaran.

“Sekarang ini, kita tidak dapat menembusi pasaran luar kerana pengeluarannya terhad dan permintaan dalam negeri terlalu tinggi,” katanya.

Bagi projek itu, beliau berkata, PPK mempunyai tiga bangsal cendawan, bangsal pemeraman (satu) serta pusat pemprosesan bongkah dan bilik inokulasi (untuk menyejuk dan penyuntikan benih).

Abdul Hamid berkata, pusat pemasaran itu yang mula beroperasi tahun lalu berjaya mengeluarkan hasil pertama sebanyak 24,000 kilogram cendawan jenis “tiram kelabu” bernilai lebih RM280,000.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM163,268 pembinaan pusat itu datang daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri Terengganu dan PPK Kemaman RM41,682.

Projek itu satu daripada projek korporat PPK sebagai mentor kepada usahawan tanaman cendawan di samping mewujudkan projek hiliran berunsurkan cendawan seperti sos cili cendawan, sos lada hitam cendawan dan sebagainya.

Katanya, ketika ini, seramai enam orang pengusaha tanaman cendawan yang bernaung di bawah PPK itu dan jumlah itu dijangka meningkat apabila peserta PPRT di Ketengah digalakkan mengusahakan tanaman cendawan. 
sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails