Rabu, Jun 26, 2013

Projek cendawan jana ekonomi


 Projek cendawan jana ekonomi

TASEK PAUH - Walaupun hanya mengikuti kursus penanaman cendawan sehari anjuran Jabatan Pertanian, seorang lelaki di sini, bertekad untuk mengusahakannya pada 2007 dengan modal permulaan hanya RM1,000 hasil perniagaan pakaian lelong di pasar-pasar malam.

Ketika itu, Norazmi Azwa Nordin, 29, mengusahakan secara kecil-kecilan dengan menyediakan 1,000 beg media dalam bangsal kecil di belakang rumahnya, di sini.

Beliau berkata, ketika itu dia memasarkan sendiri hasil di pasar tani dengan harga pasaran ketika itu hanya RM5 sekilogram, sebelum membesarkan projek dengan menyediakan dua bangsal pada 2008.

Projek cendawan jana ekonomiPekerja memasukkan habuk kayu ke dalam beg media untuk penanaman cendawan.
 

Kini, beliau mempunyai satu bangunan utama merangkumi ruang pemprosesan beg media, ruang pemeraman, ruang stok habuk kayu, bilik kukusan dan bilik suntikan benih selain 10 bilik hasil yang memuatkan 250,000 beg media.

Daripada jumlah beg media tersebut, Nor Azmi menerusi syarikatnya, Tasek Pauh Mushroom Enterprise berjaya mengeluarkan hasil purata RM350 kilogram sehari yang mana harga pasaran untuk sekilogram ketika ini antara RM8 hingga RM10.

Yakin projek cendawan.
Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya pleurotus sajor caju bukan sahaja enak dan berkhasiat malah tanaman itu dibuktikan pakar baik untuk penyakit darah tinggi, mengawal atur darah, meningkatkan sistem imun melawan bakteria, merencat pertumbuhan tumor serta mempunyai anti oksida.

Norazmi berkata, beliau yakin cendawan mempunyai prospek baik selepas mengetahui kelebihan tanaman tersebut sehingga berjaya muncul sebagai usahawan berjaya walaupun tidak memiliki sijil akademik tinggi.



Projek cendawan jana ekonomiBeg-beg media dipastikan berada dalam keadaan baik di bilik hasil.

Kejayaan itu membolehkan beliau dijadikan sebagai ikon kepada pengusaha baru selain menerima pelbagai anugerah seperti Anugerah Wira Tani Jaya, Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Kelantan dan tempat kedua kategori Pertandingan Hasil Cendawan pada Maha 2010.

Dibantu enam beradik, ibu bapa serta 10 pekerja, Tasek Pauh Mushroom dilihat masih belum memenuhi permintaan pasaran yang semakin tinggi sehingga dua lagi cawangan dibuka iaitu di Hutan Kuin, Machang dan di Bechah Kura, Peringat, Kota Bharu.

Guna kaedah betul

Bagi memastikan cendawan subur dan bermutu, beliau berkata, kaedah penanaman dilaksanakan dengan lebih sistematik dan pengendalian dilakukan dengan cukup teliti.

Katanya, habuk kayu pokok getah dicampur dedak padi dan kapur pertanian, dimasukkan ke dalam beg media sebelum dikukus selama 14 jam bagi membasmi bakteria.

“Selepas itu, ia disejukkan selama 12 jam untuk langkah seterusnya iaitu menyuntik benih.

“Selepas memasukkan benih, ia melalui proses pemeraman selama dua bulan sebelum diletakkan di dalam bilik hasil yang dikawal suhunya.

“Cendawan tumbuh dalam tempoh 10 hari. 15 hari selepas penuaian hasil, ia tumbuh lagi sehingga enam atau lapan kali dalam tempoh lima bulan bagi setiap beg media,” katanya.

Norazmi berkata, beliau perlu memastikan bilik hasil bebas daripada asap dan racun serta memproses dengan cara betul bagi mengelak jangkitan bakteria.

“Kesilapan ketika mengukus akan menyebabkan ‘kulat hantu’ membiak dalam beg media yang menggagalkan pertumbuhan cendawan tiram kelabu,” katanya.

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails