Ahad, Oktober 27, 2013

Kisah kejayaan usahawan cendawan




Pinjaman TEKUN Bantu S.Sumeti Raih Pendapatan RM9,000 Sebulan Jual Cendawan

HULU SELANGOR, 12 April (Bernama) -- Siapa sangka dengan hanya menjual cendawan yang diusahakan dari lot-lot rumah kedai mampu memberi pendapatan lumayan mencecah RM9,000 sebulan, namun itu yang dikecapi S.Sumeti dan keluarga dari Bukit Beruntung di sini.

Sumeti, 28, berkata apa yang dicapai keluarganya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa bantuan modal daripada dana khas Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), yang pada asalnya bertujuan membantu usahawan kecil bumiputera.

"Saya masih ingat masa dulu ketika kami hampir putus asa kerana cendawan tak jadi, mati sebab penyakit, mujur ada pinjaman dari TEKUN yang kami buat modal pusingan sehinggalah berjaya hari ini," katanya kepada BERNAMA pada majlis perjumpaan usahawan TEKUN Hulu Selangor dan pelancaran kelab komuniti TEKUN kawasan itu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kuala Kubu Baru, di sini petang Isnin.

Adik Sumeti, S.Murali, 22, adalah antara 12 penerima anugerah usahawan cemerlang TEKUN dan pelantikan sebagai anggota jawatankuasa penaja bagi kelab komuniti TEKUN parlimen Hulu Selangor yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini.

Murali merupakan antara peminjam dana khas bagi kaum India TEKUN dengan nilai keseluruhan dana pada 2009 ialah RM12 juta dan ditambah kepada RM20 juta pada tahun ini.

Murali tidak dapat menghadirkan diri pada majlis hari ini dan sijil penghargaan beliau diterima bapanya, S.Sathiarao, 51, yang ditemani Sumeti, yang juga pengurus bagi peniagaan tanaman cendawan yang mula beroperasi awal tahun lepas.

Sumeti berkata pinjaman RM10,000 daripada dana TEKUN yang diluluskan hanya dalam masa sebulan dari tarikh permohonan pada Jan tahun lalu telah digunakan dengan sebaiknya untuk mengembangkan perniagaan cendawan keluarganya.

Kini perniagaan cendawan keluarga Sumeti beroperasi dari empat lot kedai, yang pada asalnya satu lot kedai, di Kamunting, Perak, dan mengeluarkan di antara 70 hingga 80kg cendawan sehari yang dijual pada harga borong RM6 sekilogram.

"Sekarang pendapatan bulanan kami antara RM7,000 hingga RM9,000 tetapi kami ada sasaran untuk keluarkan sehingga 100kg cendawan sehari di masa akan datang," kata Sumeti.

Beliau berkatah perniagaan itu juga tidak akan berjaya tanpa kerjasama daripada ahli keluarga yang lain termasuk ibunya, P.Bathumany, 47, adiknya, S.Keswarau, 17, yang kini terlibat secara sepenuh masa dengan perniagaan cendawan keluarga itu.

Bagi ketua keluarga itu, Sathiarao, beliau amat gembira dengan apa yang dicapai dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat kepada kaum India, sekalipun dana itu pada asalnya untuk usahawan bumiputera.

Tidak seperti pinjaman di intitusi kewangan yang mengenakan syarat ketat selain mengenakan cagaran, pinjaman TEKUN yang kini memberi manfaat kepada 163,000 peminjam di seluruh negara tidak mengenakan syarat-syarat yang ketat.

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails