Selasa, Januari 14, 2014

Bukan sebarang Raja Cendawan


Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Cendawan maitake, juga dikenali sebagai Raja Cendawan mempunyai rasa semula jadi dan tekstur rangup ketika dimasak.
Ia sesuai dimasak dengan pelbagai kaedah masakan sama ada digoreng, direbus atau dipanggang mengikut cita rasa dalam menyediakan hidangan enak. 
Menurut Pengarah Urusan HOKTO Malaysia, Ted Yamamoto, terdapat banyak ciri-ciri dan manfaat yang boleh diperoleh menerusi pengambilan cendawan maitake.

“Saiz purata cendawan maitake mempunyai berat kira-kira 100 gram. Terdapat kajian yang melaporkan cendawan maitake mengandungi sari dikenali D-factor, berkesan untuk memerangi beberapa masalah kesihatan.
Foto
YAMAMOTO (tiga dari kiri) menunjukkan cendawan maitake yang mula dipasarkan di Malaysia.

“Ia juga membantu menguatkan sistem imun, antialergi, memperbaiki keadaan kulit, menormalkan paras gula dan tekanan darah.
“Cendawan ini juga kaya dengan vitamin D dan terkenal dalam membantu menguatkan tulang serta otot,” katanya pada majlis pelancarannya di Ri Yakitori, Hotel The Gardens, baru-baru ini. 

Hadir sama, Pengurus Pengeluaran HOKTO Malaysia, Keisuke Kaba; Pengurus Besar Pengeluarannya, Junya Iwamoto; Pengurus Besar Jualan dan Bahagian Pemasarannya, Tom Sou Tada dan Pengurus Jenama dan Pemasarannya, Catherine Lee. 

Pada majlis pelancaran berkenaan, Chef de Cuisine Ri Yakitori, Takao Yamashita menampilkan pelbagai hidangan menarik dengan kaedah memasak cendawan berbeza bermula daripada menu pembuka selera, hidangan utama hingga pencuci mulut. 

Jenama berkenaan kini antara syarikat yang mengimport dan membekalkan cendawan maitake ke Malaysia dengan mengimport satu tan cendawan maitake sebulan dari ladangnya di Jepun. 

Menariknya, semua pengeluaran produk cendawan jenama berkenaan 100 peratus menggunakan mesin dan tidak disentuh menggunakan tangan manusia bagi mengekalkan kesegaran cendawan agar tahan lebih lama. 

“Sempena pelancaran ini, kami memulakan pengeluaran cendawan bunashimeji dan bunapi di kawasan kemudahan pertanian sebesar enam ekar di Bandar Enstek, Sepang bermula Oktober 2014.

“Namun, cendawan maitake tetap akan diimport dari Jepun. Jika sambutan yang diberikan menggalakkan, kami mungkin mempertimbangkan untuk mengeluarkannya di sini pada masa akan datang,” katanya. 

Tambahnya, jenama berkenaan mengedarkan tiga jenis cendawan di Malaysia iaitu bunashimeji, bunapi dan yang terkini, maitake yang boleh didapati di semua pasar raya AEON serta BIG (Ben’s Independent Grocer) di Publika. 
sumber: Harian Metro

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails