Isnin, Januari 13, 2014

Tanam cendawan di sekolah

Tanam cendawan di sekolah  BALIK PULAU - Cendawan merupakan makanan yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat kerana keenakannya dan boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Cendawan boleh dinikmati secara segar atau digoreng tepung. Tetapi antara makanan berkaitan cendawan yang paling popular ialah sup cendawan.

Oleh sebab itu, sama seperti peribahasa, ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan, begitu juga dengan kemunculan cendawan ketika ini.

Selaras dengan permintaan tinggi terhadap cendawan, pihak Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Seri Pulau, Balik Pulau mengorak langkah memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar sekolah dalam penanaman cendawan bagi melahirkan golongan usahawan muda, pada masa akan datang.

Niat murni pihak PPK Seri Pulau diperluaskan menerusi Program ‘Touch Point’ Cendawan di bawah peruntukan sebanyak RM20,000 yang diluluskan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang.  

Untuk peringkat permulaan, sebanyak lima sekolah dari kawasan Daerah Barat Baya dipilih dan dibekalkan satu set starter kit cendawan yang merangkumi satu set rak mengandungi 72 bongkah beg media cendawan serta alat penyembur, bagi menarik pelajar menceburi dalam tanaman cendawan.

Selain starter kit, terdapat enam perkhidmatan dan rundingan yang disediakan oleh PPK Seri Pulau dari semasa ke semasa kepada pelajar sekolah berkaitan perusahaan projek cendawan sebagai dorongan menarik minat pelajar dalam bidang pertanian.

Antara perkhidmatan yang akan disediakan oleh PPK Seri Pulau ialah mengenai cara penghasilan benih, penyediaan beg media, jualan cendawan segar dan menghasilkan tepung goreng cendawan.

Selepas enam kali penuaian hasil cendawan daripada set starter kit pertama yang diberikan percuma, pihak sekolah boleh membeli bongkah beg media dengan rebat 20 peratus daripada pihak PPK Seri Pulau dengan harga RM1.60 satu bongkah.

Pihak sekolah mendapat rebat itu, selepas mereka memulangkan beg media untuk tujuan kompos semula dijadikan baja.

Sementara itu,  hasil jualan cendawan pula akan  dimanfaatkan oleh pihak sekolah berkenaan menerusi tabung yang khas ataupun menerusi koperasi sekolah.

Pengarah Bahagian Usahawan Ladang Lembaga Pertubuhan Peladang, Md Salim Sulaiman berkata program tanaman cendawan adalah selaras dengan saranan kerajaan di bawah Dasar Agro Makanan 2011, memupuk minat pelajar sekolah menceburi industri tanaman cendawan di negara ini, pada masa hadapan.

Menurutnya, program berkenaan mensasarkan lima objektif iaitu memberikan pendedahan dan pengetahuan pelajar dan usahawan muda tentang penanaman cendawan. -Sinar Harian

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails