Khamis, April 03, 2014

Penuntut USM tanam, jual sendiri produk cendawan


GEORGETOWN - Bercita-cita menjadi tauke muda selepas mendapat ijazah, sekumpulan penuntut Universiti Sains Malaysia di sini gigih mengusahakan projek cendawan dan memasarkan sendiri hasil tanaman itu di kampus.

Penat lelah 30 penuntut yang kebanyakannya dari Pusat Pengajian Sains Biologi dan Teknologi Industri itu berbaloi apabila mereka berjaya menuai hasil cendawan sehingga 18 kilogram setiap hari sejak projek itu dimulakan di bawah kelab MyAgrosis, September tahun lepas.

Yang Dipertua MyAgrosis Nur Aktika Jamil berkata rumah cendawan mereka boleh memuatkan 6,000 bongkah beg media cendawan yang setiap satu dapat menghasilkan 300 gram cendawan dan dituai enam hingga sembilan kali.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah meluluskan dana sebanyak RM50,000 bagi kos pembinaan rumah cendawan dan penyediaan 6,000 bongkah benih cendawan dengan jangkaan perolehan pendapatan sebanyak RM16,000 daripada berat keseluruhan 1,800 kilogram.

"Selain dijual secara mentah setiap hari dengan harga RM13 sekilogram, kami turut menghasilkan makanan berasaskan cendawan jenis Tiram Kelabu seperti popia, karipap, cucur cendawan dan cendawan goreng pada setiap Khamis dan Jumaat.

"Minggu ini juga kami baru perkenalkan air cendawan bagaimanapun ia hanya boleh dibuat menggunakan cendawan Telinga Kera dan kami berhasrat untuk tanam cendawan jenis ini pada masa akan datang kerana sambutannya menggalakkan," katanya di sini hari ini.

Nur Aktika, 25, berkata selain menerima bimbingan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri dengan menyertai beberapa siri kursus jangka pendek, mereka turut mengambil inisiatif meminta khidmat nasihat pengusaha cendawan lebih berpengalaman dari Balik Pulau.

Walaupun pada peringkat awal beliau dan rakan-rakannya tidak langsung mempunyai kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan itu, tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya semakin berkobar-kobar, apabila dapat menuai hasil titik peluh pertama mereka.

Katanya proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur serbuk padi dan dedak yang dimasukkan ke dalam beg media diikuti proses mematikan bakteria dengan cara mengukus selama 12 jam.

Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun di atas rak dalam suhu antara 25 dan 30 darjah celsius. - Bernama

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails