Isnin, Mac 04, 2013

Tauke benih cendawan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

PEMEGANG Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) ini tidak menyesal memilih kerjaya ‘luar bidang’ apabila menceburi sektor pertanian.

Tekadnya menceburi bidang pertanian dengan bermodalkan wang simpanan berjumlah RM20,000 itu membuahkan hasil lumayan apabila kini bergelar usahawan benih cendawan.

Biarpun pernah memegang jawatan besar selain bergelar guru, minatnya dalam bidang pertanian membulatkan impiannya untuk bergelar siswazah tani.

Memegang prinsip tidak mahu selamanya makan gaji, pilihan itu lebih menjanjikan kepuasan dan keseronokan mengutip hasil daripada keringat titik peluh sendiri. 

Saya dan Encik Rasul semasa kunjungan ke rumah cendawan beliau di Rembau.
 


Berstatus pembekal barangan cendawan sekitar 2007, Mohammad Rasul Alpi kemudian menceburi perniagaan penghasilan benih cendawan yang ketika itu dimonopoli usahawan bukan Melayu.

Pengurus Mentah Resources itu berkata, pembabitannya dalam perniagaan benih cendawan bermula daripada ajakan rakannya, Kapten Zainal, seorang juruterbang.

“Tanpa sebarang pengalaman, saya mempelajari selok-belok penghasilan benih cendawan menerusi buku dan Internet.


“Saya banyak membaca dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang itu.


“Hasilnya, saya kini bergelar tauke benih cendawan,” katanya.


Menurutnya, jatuh bangun dalam perniagaan menjadi asam garam kepada sesiapa yang ingin bergelar usahawan.


“Ilmu melalui buku dan Internet belum memadai, jalan terbaik ialah berguru dengan mereka yang arif dalam bidang itu,” katanya.


Mohammad Rasul mendapatkan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berkaitan penghasilan benih cendawan.


“Sebelum mendapatkan khidmat MARDI, projek benih cendawan sudah berjalan, namun saya menghadapi beberapa masalah termasuk benih cendawan dihasilkan rosak.


“Dengan bantuan MARDI, mereka menyusun atur semua perkara berkaitan makmal penghasilan benih cendawan,” katanya.


Keprihatinan pegawai MARDI turun padang dan memantau pengurusan makmal, menampakkan kesan positif.


“Saya amat mengambil berat perkara itu kerana gagal atau berjaya pengusaha cendawan tiram kelabu bergantung kepada kualiti benih dihasilkan,” katanya.


Dia kini mampu membekalkan kira-kira 3,000 beg benih cendawan tiram kelabu ke seluruh negara.


Pemegang Ijazah Sarjana Undang-undang Harta Intelek Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi itu turut berkongsi pengalaman penghasilan benih cendawan di makmalnya di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan.


“Saya menggunakan biji gandum yang direndam dalam tempoh sehari. Ia dikeringkan sebelum ditimbang dalam sukatan 300 gram sebelum dibungkus bersama penutup dan beg plastik.


“Beg benih cendawan akan dimasukkan ke bilik suntikan bagi tujuan penyediaan tisu cendawan,” katanya.


Menurutnya persekitaran yang bersih diperlukan dalam makmal termasuk proses menyahkuman peralatan menggunakan api alat penunu bunsen dan semburan pembasmi kuman.


Layari laman web, www.kedaipertanian.my atau mentahresources@yahoo.com untuk maklumat lanjut.

sumber: Harian Metro 

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails