Isnin, April 22, 2013

Cendawan bantu tingkat pendapatan



USAHA...projek tanaman cendawan bantu tingkatkan pendapatan.

USAHA tani nyata mampu menjana pendapatan yang baik jika dilaksanakan sebaik mungkin.

Bagi 25 individu miskin serta ibu tunggal di Kampung Merchong, Pekan, Pahang, program e-Kasih menyediakan bantuan mengusahakan projek tanaman cendawan tiram bagi menambah pendapatan masing-masing.

Setiap peserta dibekalkan sebuah rumah tanaman, 2,000 beg cendawan dan peralatan menyiram selain kursus sebagai pendedahan terhadap projek yang diusahakan secara berkumpulan itu.

Peserta, Hayah Osman, 53, berkata pendapatan daripada projek itu dapat meringankan beban suami yang hanya bekerja sebagai nelayan pantai.


Menurutnya, tidak sampai sebulan mengusahakan projek berkenaan, setiap peserta memperoleh pendapatan antara RM40 hingga RM120 sehari bergantung kepada permintaan pemborong.

“Mengusahakan projek tanaman cendawan tidak memerlukan terlalu banyak masa atau tumpuan. Kami hanya perlu menyiram dua kali sehari bagi mengekalkan kelembapan rumah tanaman selain mengawal pertumbuhan.

“Kerja memetik cendawan dilakukan awal pagi bagi mengekalkan kualiti,” katanya yang turut berniaga pelbagai jenis kuih sebagai usaha sampingan.

Setiap beg cendawan matang mengeluarkan hasil lima hingga lapan kali bergantung kepada penjagaan dan kualiti benih digunakan.

“Selepas berjaya dengan projek pertama ini, saya bercadang menambah jumlah beg sehingga 3,000 bagi memenuhi permintaan yang semakin menggalakkan daripada masyarakat setempat termasuk pemborong dari Pekan dan Rompin,” katanya.

Dia berterima kasih kepada Jabatan Pertanian Pekan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) daerah yang membantu menjayakan projek berkenaan.

Bagi Hasmah Awang Kecik, 45, kursus tiga hari yang disediakan Jabatan Pertanian daerah sebelum ini berjaya meningkatkan kemahiran peserta untuk mengusahakan projek walaupun ada di kalangan mereka yang buta huruf.

Sebelum ini peserta tidak pernah membayangkan mampu mengusahakan projek tanaman cendawan tiram walaupun mengetahui ia boleh memberikan pulangan yang menguntungkan.

“Projek ini diusahakan secara berkumpulan, peserta saling tolong menolong dan bertukar pendapat antara satu sama selain turut terbabit membantu daripada segi pemasaran.

“Sokongan diberikan agensi kerajaan berkaitan melancarkan lagi semua urusan yang sebelum ini tidak pernah terbayang di hati setiap peserta,” katanya.

Rakannya, Robiyah Ibrahim, 55, mengakui sanggup menaiki bas semata-mata untuk menjual cendawan kepada pekedai termasuk pekan sehari di Rompin.

Menurut ibu tunggal ini, untuk mengubah taraf hidup, setiap individu perlu berusaha gigih tanpa mengira penat dan malu. Selagi ada usaha, kejayaan pasti akan menyebelahi mereka.

“Saya berminat dengan kerja pertanian. Tawaran mengusahakan projek cendawan disambut dengan penuh harapan untuk memastikan pendapatan sebagai pesawah bertambah. 


“Kini saya mampu memperoleh pendapatan tambahan antara RM50 hingga RM100 sehari bergantung kepada permintaan,” katanya yang bercadang untuk membesarkan lagi projek berkenaan sehingga dua kali ganda.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian daerah, Syed Abdul Raffar Ismail, berkata seramai 45 peserta terdiri daripada golongan miskin dan ibu tunggal terbabit dalam projek tanaman cendawan e-Kasih Parlimen Pekan itu.

Menurutnya, setiap peserta mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 membabitkan rumah tanaman, beg cendawan dan kursus.

“Kami bekerjasama dengan Fama daerah dalam menjayakan projek kerajaan yang kali pertama diperkenalkan di daerah ini dengan matlamat menambah pendapatan golongan miskin dan ibu tunggal.

“Harapan kami supaya projek ini dapat menambah pendapatan golongan berkenaan, seterusnya bebas daripada kelompok kemiskinan,” katanya yang sentiasa memantau perkembangan projek berkenaan.

Selepas mencatat kejayaan membanggakan pada projek pertama, pihaknya berharap setiap peserta dapat menambah jumlah beg cendawan pada pusingan kedua akan datang.

“Saya yakin sekiranya projek ini dapat diteruskan pada masa akan datang, semua peserta mampu keluar daripada kelompok kemiskinan,” katanya.



sumber: Harian Metro



Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails