Selasa, April 23, 2013

Cendawan ganti ayam



Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
RAMAI yang gemar menikmati cendawan ataupun makanan berasaskan cendawan, tetapi belum jelas atau tidak tahu khasiat terkandung dalam bahan berkenaan.
Cendawan ialah sejenis kulat yang tumbuh di atas tanah dan sesetengahnya tumbuh meliar manakala ada juga ditanam sebagai makanan dan perubatan. 
Ia juga boleh mengurangkan kandungan gula dan menambah insulin dalam darah, namun tidak semua cendawan boleh dimakan kerana ada cendawan beracun dan boleh membahayakan kesihatan sekiranya dimakan. 

Antara yang boleh dimakan ialah cendawan tiram, telinga kera atau jeli hitam, kukur, shiitake, butang, enoki serta jarum emas.

Bagi pemilik kafe Nyaman, Chef Harun Mat Yusop, penyediaan hidangan berasaskan cendawan adalah satu bentuk makanan menyihatkan kerana ia mengandungi pelbagai protein serta boleh dijadikan pengganti ayam.

“Ia menu makanan menyihatkan kerana boleh disediakan dalam pelbagai sajian menyelerakan. Ia tentu sesuai diambil mereka yang ingin melangsingkan badan sebagai sebahagian daripada diet harian. 

“Rasanya juga enak sama seperti menikmati daging ayam dan bau yang terhasil daripada cendawan sama ada digoreng atau dipanggang amat membuka selera,” katanya ketika ditemui di kafenya di Jalan Pulau Gadong, Melaka. 

Chef Harun berkata, apabila menyajikan sajian berasaskan cendawan, paling penting untuk mengekalkan keaslian rasanya. 

Kaedah paling ringkas adalah dengan memanggang cendawan yang sudah diperap dengan bahan seperti lada hitam, garam dan minyak. Selain menggunakan kuali, boleh digunakan ketuhar untuk memanggang kulat dengan kepanasan antara 180 darjah Celsius hingga 200 darjah Celsius. 

Selepas dimasak, ia sedap dimakan ketika masih panas. -Harian Metro

Tiada ulasan:

a> Related Posts with Thumbnails